Thursday, July 1, 2010

Meluaskan Khidmat Pajak Gadai Islam

Sumber : WAN ZULKIFLI WAN YAACOB
                 http://www.utusan.com.my
Najib Tun Razak menandatangani plak perasmian sambil diperhatikan Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Seri Mustapa Mohamad dan Zukri Samat (kiri) pada majlis perasmian Ar-Rahnu Bank Islam di Kota Bharu, kelmarin.


KOTA BHARU 18 Jun – Bank Islam Malaysia Berhad (Bank Islam) yang menjangkau usia 27 tahun mengembangkan sayap perniagaan dengan melancarkan perkhidmatan Ar-Rahnu atau pajak gadai Islam di sini baru-baru ini.

Pelancaran perkhidmatan itu di sini yang disempurnakan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak merupakan satu lagi rentetan sejarah yang amat bermakna bagi institusi itu selaku perintis perbankan Islam di tanah air.

Ia antara usaha yang bakal memperluaskan spektrum produknya, iaitu meningkatkan lagi kepelbagaian dan sekali gus daya saing perkhidmatan perbankan Islam dalam landskap perbankan keseluruhan yang amat mencabar kini.
Kota Bharu khususnya dan Kelantan amnya dipilih sebagai tapak awal bertepatan dengan kemasyhurannya sebagai antara pusat perniagaan kecil-kecilan yang utama di negara ini.

Pengarah Urusannya, Datuk Seri Zukri Samat berkata: ‘‘Kami mengambil keputusan untuk memberi penghormatan kepada Kota Bharu sebagai bandar pertama pelancaran perkhidmatan ini.
‘‘Menurut kajian kebolehlaksanaan yang dijalankan, terbukti warga Kota Bharu secara keseluruhannya amat cenderung untuk berkecimpung dalam bidang perniagaan terutamanya wanita.”

Wanita Kelantan juga amat gemar memiliki emas bukan sahaja sebagai perhiasan tetapi juga sebagai simpan dan mereka boleh mendapatkan wang tunai dengan mudah melaluinya pada masa yang singkat bagi membiayai urusan niaga dan keperluan dalam waktu mendesak.
Ini memandangkan sifat semula jadi emas sebagai komoditi yang mempunyai kecairan tinggi dan kestabilan harga yang relatif.

Katanya, pembukaan tersebut selaras dengan permintaan tinggi terhadap pembiayaan kredit makro oleh pasaran ekonomi negara yang 99.2 peratus daripadanya diterajui perusahaan kecil dan sederhana (PKS).
Menurut beliau, dengan perkhidmatan tersebut, pemohon boleh mendapatkan perkhidmatan kredit hanya dalam tempoh 10 minit dengan prosedur yang mudah.
“Kita amat jelas mengenai kepentingan perusahaan mikro ini dalam arus ekonomi semasa malah pada tahun 2008, ia menyumbang sebanyak 31.4 peratus dalam Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK).

“Melalui perkhidmatan ini, Bank Islam boleh menyumbang ke arah memperkasakan satu segmen utama dalam ekonomi negara iaitu PKS yang mewakili 99 peratus daripada perniagaan dan perusahaan mikro ini menyumbang sebanyak 56.4 peratus pekerjaan dalam negara,” katanya ketika berucap pada majlis itu.

Zukri berkata, pelanggan yang menggunakan perkhidmatan tersebut berpeluang mendapat pembiayaan sehingga 60 peratus daripada nilai emas yang dipajak dan mereka hanya akan dikenakan ‘upah simpan’ iaitu caj untuk menampung kos menyimpan barangan yang dipajak.
“Bagi memastikan ketelusan, semua maklumat transaksi akan direkodkan dengan jelas di samping perlindungan takaful bagi menjamin keselamatan barangan yang dipajak.
“Selain itu, pelanggan yang gagal membayar semula pembiayaan yang diambil akan menerima lebihan lelongan emas yang dipajak selepas kita menolak jumlah hutang dan upah simpan,” jelas beliau.

Beliau menarik perhatian keputusan untuk menggerakkan perkhidmatan ini dibuat bukan semata-mata untuk membolehkan Bank Islam memainkan peranan dalam memperluaskan akses kepada pembiayaan berlandaskan syariah untuk ditawarkan kepada masyarakat peniaga.

Ia juga bagi menyahut seruan Perdana Menteri dalam Ucapan Bajet 2010 Oktober tahun lepas bagi memperluaskan peranan menjana ekonomi rakyat melalui sumber pembiayaan mudah dan pantas.

Bank Islam memulakan dengan menjalin usaha sama strategik dengan mengambil alih 80 peratus kepentingan dalam Farihan Corporation Sdn. Bhd. yang sudah lama beroperasi di Pasir Puteh.

Optimis dengan skim pembiayaan ini, bank itu merancang untuk memperluaskan lagi rangkaian niaga dengan memiliki keseluruhan lima cawangan di seluruh negara menjelang akhir tahun ini termasuk Terengganu, Kedah, Pahang dan Perlis.

No comments:

 

Mengenai Blog Ini

Blog ini bertujuan untuk menyedarkan dan mendidik orang ramai tentang kebaikan emas pelaburan. Di samping itu juga, tuan punya blog mempunyai misi tersendiri iaitu untuk membaiki taraf hidup khususnya orang-orang Melayu kita dengan melabur di dalam emas pelaburan. Selain itu, blog ini juga akan mendedahkan bagaimana membuat keuntungan dengan melabur emas dan juga membezakan skim pelaburan emas (skim cepat kaya) dengan pelaburan emas fizikal. Bersama-samalah kite berkongsi maklumat dan informasi terkini untuk kesejahteraan bersama.

Followers

Danish Gold Malaysia Copyright © 2009 Blogger Template Designed by Bie Blogger Template